17 March 2012

Malu?


Perasaan malu adalah pengalaman universal, yang pernah dialami oleh hampir setiap  orang sama ada ketika kanak-kanak atau setelah dewasa. Walau bagaimanapun ada sesetengah kanak-kanak atau orang dewasa mempunyai perasaan malu yang keterlaluan berbanding orang lain di dalam hal-hal yang tidak sepatutnya mereka merasa malu. Sebagai contoh, ada orang yang terlalu malu sehingga tidak sanggup pergi ke restoran, tidak sanggup memandang muka orang lain dan ada yang sanggup memilih untuk mati daripada bercakap di hadapan khalayak. Malu adalah diantara tingkah laku yang banyak dikaji oleh pakar-pakar psikologi dari semasa ke semasa.

Namun, berbeza pula malu menurut islam. Sifat malu menurut kaca mata islam adalah malu kepada Allah. Dalam hal ini, Rasulullah menegaskan dalam satu hadith yang bermaksud;

“ Malulah kamu kepada Allah yang sebenar-benar malu. Kami ( para sahabat ) menjawab : sesungguhnya kami sememangnya malu kepada Allah, Alhamdulillah. Ujar baginda; Bukan itu...malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu itu adalah menyaring suatu yang memasuki kepala dan perut kamu, mengingati mati dan kehancuran tubuh badan apabila memasuki kubur nanti. Siapa yang berkehendakkan akhirat, dia perlu tinggalkan perhiasan dunia yang berlebihan dan memilih kehidupan akhirat berbanding kehidupan dunia yang sementara. Maka siapa yang benar-benar melakukan demikian, sesungguhnya dia malu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.”-(( Hadith daripada at-Tirmizi ))-

Sifat malu ini menduduki martabat yang tinggi di sisi Allah. Ia merupakan asas bagi segala kebajikan. Ia juga adalah unsur kemuliaan bagi setiap amalan yang dilakukan oleh seorang muslim. Sehubungan itu, sabda Rasulullah yang bermaksud;
“ Tiada sesuatu yang mengiringi kekotoran lidahnya melainkan ia menghodohkannya tiada suatu yang diiringi dengan sifat malu melainkan ia mencantikkannya.”
-(( Hadith daripada at-Tirmizi ))-
Tiada satu amalan kebajikan pun dalam islam melainkan ada ganjaran pahala yang menantinya. Begitulah juga sifat malu ini. Kita perlu sedar peranan malu dalam kehidupan orang islam. iIa harus ditingkatkan secara positif sehingga ia dapat membentuk kehidupan yang harmoni dan sejahtera dengan keredhaan Allah di dunia dan akhirat.

Malu juga merupakan salah satu daripada akhlak2 mulia yang diterapkan oleh agama islam. Dari Abu Mas’ud ‘Uqbah bin ‘Amr al-Anshari al-Badri radhiallahu ‘anhu ia berkata, “Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, "Sesungguhnya salah satu perkara yang telah diketahui oleh manusia dari kalimat kenabian terdahulu adalah, ‘Jika engkau tidak malu, berbuatlah sesukamu.’"

Malu,malu,malu... malu terdapat banyak maksud disebalik perkataan al-hayaa.. Imam Ibnul Qayyim rahimahullah berkata, "Malu berasal dari kata hayaah (hidup), dan ada yang berpendapat bahwa malu berasal dari kata al-hayaa (hujan), tetapi makna ini tidak masyhûr. Hidup dan matinya hati seseorang sangat mempengaruhi sifat malu orang tersebut. Begitu pula dengan hilangnya rasa malu, dipengaruhi oleh kadar kematian hati dan ruh seseorang. Sehingga setiap kali hati hidup, pada saat itu pula rasa malu menjadi lebih sempurna."

Malu Yang Mulia
“Eh Man, kaulah yang tanyakan soalan tu kat lecturer. Aku malu ni, cakap bahasa Inggeris tergagap-gagap.” “Malunya aku! Tadi masa tengah gelak di library, ada orang tegur minta senyap sikit.” 
Begitu malu yang kita tahu. Ayat-ayat di atas pula cumalah sebahagian kecil cerita tentang malu yang berkisar dalam masyarakat kita, terutama dalam konteks hidup seorang pelajar.
Namun, pernahkah terdetik di hati kecil; apakah malu sekadar itu? Ataupun malu yang sebenar jauh berbeza daripada apa yang kita fahami sejak dari dulu?

KONSEP MALU 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“Iman itu mempunyai tujuh puluh cabang atau enam puluh cabang, maka yang paling utama ialah ucapan Laa ilaha illallah (Tidak ada Tuhan yang sebenarnya melainkan Allah) dan yang paling rendah ialah membuang duri dari jalan dan sifat malu ialah satu cabang daripada iman.” ( Riwayat al- Baihaqi)

Meskipun ringkas, namun hadith di atas cukup untuk mendefinisikan kedudukan malu yang sebenar dalam Islam; iaitu satu akhlak yang lahir sebagai manifestasi iman yang ada di jiwa.
Rasulullah s.a.w juga pernah berdialog dengan para sahabat dalam sebuah majlis.

Baginda bersabda, ”Malulah kepada Allah dengan sebenar-benarnya.” Para sahabat menjawab, ”Wahai Nabi Allah, kami memang malu kepada Allah dan sentiasa memuji-Nya.” Nabi bersabda, ”Bukan begitu yang saya maksudkan. Tetapi, orang yang malu kepada Allah dengan sebenar-benarnya mestilah menjaga kepala dan fikiran yang terkandung di dalamnya. Hendaklah juga menjaga perut dan apa yang dikumpulkan di dalamnya, dan hendaknya dia mengingati maut dan bencana yang akan menimpanya. Siapa yang menginginkan akhirat, maka dia mesti sanggup meninggalkan kegemerlapan hiasan dunia.”
(Riwayat Imam At-Tirmizi)
Pendek kata, dengan sifat malu yang mulia ini, seseorang yang beriman itu mampu untuk menahan diri daripada perkara yang memalukan menurut pandangan syarak meskipun perkara tersebut tidak dikira mengaibkan oleh manusia.

TELADAN DARI GENERASI LALU
Dalam menterjemahkan konsep malu sebenar, generasi yang hidup di zaman Rasulullah s.a.w dan sahabat adalah contoh terbaik yang boleh kita ambil. Antaranya:

Nilai malu dalam kisah pensyariatan solat
Di saat Rasulullah dimikrajkan ke Sidratul Muntaha, Baginda diperintahkan oleh Allah s.w.t agar umatnya mendirikan solat sebanyak 50 kali sehari. Tetapi Rasul lain yang ditemui dalam perjalanan mikraj menasihati bahawa tugas itu terlalu berat bagi umatnya. Baginda kemudiannya meminta keringanan sehingga bilangan solat dikurangkan kepada 5 kali sehari semalam. Saat itu, baginda diberitahu sekali lagi bahawa solat yang 5 kali itu pun masih dikira berat. Namun, atas dasar malu, baginda tidak kembali untuk meminta keringanan daripada Allah SWT sekali lagi. Dan inilah antara contoh sifat malu yang ada pada diri Baginda iaitu malu untuk mengurangi nilai pengabdian seorang hamba terhadap Tuhannya.

Kisah Saidina Ali r.a
Saidina Ali r.a tidak pernah melihat auratnya sendiri, apatah lagi melihat aurat manusia lain. Antara kisah yang menggambarkan sikap Ali r.a ini adalah ketika peperangan Uhud. Sebagaimana tradisi peperangan dahulu, perang biasanya dimulakan dengan perlawanan satu lawan satu antara panglima kedua-dua belah pihak.

Maka dalam peperangan Uhud itu, pihak musyrikin telah menghantar wakilnya Talhah bin Uthman sebagai panglima yang akan mara ke hadapan dan kaum Muslimin pula diwakili oleh Saidina Ali r.a. Pada awal perlawanan panglima kafir Quraisy telah mencabar tentera Islam:
“Wahai pengikut-pengikut Muhammad, kamu mendakwa bahawa pedang kamu akan membawa kami semua ke neraka, manakala pedang kami akan membawa kamu ke syurga. Adakah ada dari kalangan kamu yang mahu mencabar aku sehingga pedangku ini akan membawanya ke syurga atau pedangnya yang akan membawa aku ke neraka?!” Laung panglima itu.
Tanpa berlengah Saidina Ali r.a dengan berani menyahut cabaran itu.
“Demi Allah, aku tidak akan melepaskan kau sehinggalah pedangku ini menghantarmu ke neraka atau pedangmu menghantarku ke syurga!”
Sejurus kemudian, berlakulah pertempuran sengit antara panglima kedua-dua belah pihak. Jika dinilai dari segi usia, Saidina Ali r.a lebih muda berbanding panglima si Kafir. Namun, berkat kesungguhan dan semangat beliau untuk membela agama tercinta, akhirnya dia berjaya menumpaskan Talhah bin Uthman dengan memancung kakinya.
Serentak itu, Rasulullah s.a.w serta para sahabat bertakbir apabila melihat Talhah bin Uthman tersungkur ke bumi bersama keangkuhannya.
Akan tetapi, pada satu masa yang lain Saidina Ali r.a tidak jadi membunuh panglima Quraisy dan lantas bertemu Rasulullah s.a.w. Maka berlakulah dialog antara baginda Rasulullah s.a.w dan Saidina Ali r.a.
“Kenapa engkau tidak membunuhnya wahai Ali?”
“Ya Rasulullah SAW, sewaktu aku ingin membunuhnya, aku ternampak auratnya terbuka. Lantas aku berpaling darinya dan aku malu untuk mendatanginya buat kali kedua.”
Begitulah hebatnya tarbiyyah Rasulullah s.a.w. Iman para sahabat sungguh teguh sehinggakan ketika bertempur di medan perang juga mereka masih faham apa itu erti malu. Malah mereka itu jauh lebih berani dan lebih malu daripada kita bak langit dengan bumi jaraknya!

DUNIA HARI INI DAN MALU YANG TELAH DISALAH ERTI
Namun, lantaran menilai malu dari kaca mata adat setempat, masyarakat hari ini terutamanya Muslim itu sendiri telah salah faham akan konsep malu yang hakiki. Fikirkan misalan ini. Jika di dalam suatu kelas yang terdiri daripada pelajar lelaki dan perempuan, serta semua pelajar perempuannya memakai skirt paras lutut, maka adatnya adalah tidak mengapa untuk memakai skirt sebegitu. Dari sini timbullah kefahaman bahawa tidak perlu malu untuk memakai skirt pendek, atau lebih tepat lagi tidak perlu malu untuk tidak menutup aurat walhal hal ini amatlah menyalahi konsep malu yang diajar dalam Islam.

Hilangya rasa malu juga adalah punca utama gejala maksiat. Buktinya, persepsi tentang perlakuan yang tidak didasari erti malu menurut Islam inilah yang menjadikan umat islam hari ini bergaul bebas antara bukan muhrim, sentuh menyentuh, berkhalwat dan mengutamakan kehendak hati semata-mata. Akhirnya, hawa nafsulah yang mengalahkan perasaan malu.

Selain itu, kita selalu lebih malu dengan manusia daripada malu dengan Allah. Banyak keburukan diri cuba kita sembunyikan sebaik-baiknya daripada pengetahuan umum, tetapi saat sendirian kita menikmatinya tanpa rasa bersalah. Contohnya, perbuatan mencuri atau mengumpat tidak mungkin akan dilakukan jika sedang dilihat atau didengar oleh orang lain. Menderhakai ibu bapa juga tidak mungkin terang-terangan dilakukan jika di sekelilingnya ada saudara mara atau orang awam.

Apakah mungkin kerana kita beranggapan Allah memang sudah mengetahui semuanya, oleh itu tiada rasa malu yang kita hadirkan kepada-Nya? Atau mungkinkah kita menyangka Allah lebih memahami situasi kita, maka itu menjadi alasan untuk hilang rasa malu dengan-Nya? Jarang sekali kita sedari bahawa Allah yang Maha Mengetahui sebenarnya boleh sahaja membuka rahsia dosa kita bila-bila masa yang dikehendaki-Nya.

Perhatikan pula tentang ini. Ibnul Qayyim menasihatkan bahawa untuk tidak terjerumus dalam lembah maksiat ialah supaya merasa malu kepada Allah. Dengan cara ini seorang hamba akan sedar bahawa Allah selalu mengawasi dirinya dan apabila dia menyedari bahawa perbuatannya dilihat dan didengar oleh Allah, maka tentu sahaja dia akan malu apabila melakukan hal yang boleh mengundang murka-Nya.

Jadi kesimpulannya, malu dalam erti kata yang sebenar adalah malu yang menjadikan kita berbuat sesuatu yang Allah redha dan meninggalkan apa yang dibenci-Nya. Namun, tidak banyak yang mampu diulas dalam bingkisan ringkas ini dan biarlah perkongsian yang sedikit ini menjadi pencetus untuk kita akhirnya menghargai sifat malu dan beriltizam dengannya kelak, inshaAllah.

Wallahu’alam. [sebahagian daripada perkongsian ini diambil drp beberapa halaman]





Blogger Wordpress Gadgets